Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir Alam semesta. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia serta hidayahNya dapatlah kita melewati lagi bulan yang penuh barakah iaitu bulan Rejab pada tahun ini. Sabda Rasulullah s.a.w : Bulan Rejab bulan Allah s.w.t, Bulan Syaaban Bulanku, dan Bulan Ramadhan bulan Umatku. Di dalam bulan-bulan ini Allah telah meletakkan di dalamnya keistimewaan tertentu iaitu kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mi’rajnya, Sya’ban dengan malam Nisfunya dan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya.
Rejab bermaksud ta’zim iaitu kebesaran, keagungan dan kemuliaan. Oleh kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan Rejab itu maka Allah melimpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan kebajikanNya kepada hamba-hamabaNya yang beriman dan beramal soleh. Pada bulan Rejab ini, Allah s.w.t melipatgandakan pahala dan diampukan dosa-dosa hamba-hambanya yang meminta keampunan dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Manakala akan diangkat darjat keimanan bagi hamba-hambaNya yang berlumba-lumba memperbanyakkan amal ibadat. Maka rugilah bagi orang-orang yang ketinggalan. Oleh sebab itu Rejab juga disebut sebagai bulan maghfirah (keampunan ) daripada Allah s.w.t untuk hambaNya. Kelebihan ini bertepatan seperti yang diriwayatkan dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi yang bermaksud “Malam Awal Rejab mustajab doanya” .
Antara lain yang dilihat dalam kelebihan bulan Rejab ini adalah :-
- Bulan Rejab adalah bulan Allah s.w.t membuka pintu kebajikan dengan luas dan digalakkan kepada hamba-hambaNya agar memperbanyakkan solat-solat sunat, puasa, beristighfar, berzikir, bertasbih dan amal soleh yang lain serta tidak meninggalkan ibadah wajibnya.
- Sabda Nabi s.a.w : “Hendaklah kamu memulikan bulan Rejab nescaya Allah memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan di Hari Kiamat.”
- “Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah 1000 dinar, dituliskan kepadanya tiap-tiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapus seribu kejahatan.” (Al-Hadis)
- Puasa pada 27 Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa 1000 tahun, ini kerana kebesaran hari Isra’ Mi’raj. (Al-Hadis)
- Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya. ( Al-Hadis )
Dan demikianlah antara kelebihan-kelebihan bulan yang penuh barakah ini. Akan tetapi janganlah kita terlalu taksub dengan kelebihan-kelebihan ini sehingga mengabaikan ibadah-ibadah yang hakiki. Oleh yang demikian, jadilah manusia yang sentiasa bersyukur dengan segala rahmat dan maghfirah dariNya. Mudah-mudahan kita tidak menjadi hambaNya yang hanya mengejar bulan-bulan tertentu untuk membuat amal ibadah. Sebaliknya setiap masa dan setiap waktu kita berusaha untuk meningkat amal ibadah agar menjadi umatNya yang sentiasa beramal soleh. Insyaallah….. sekian, salam muhibbah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
8 Rejab 1430.
Aku menucapkan terima kasih kepada kawanku,ustazah Siti Mariam atau panggilan manja kastury dalam membantu aku menulis sedikit maklumat tentang bulan Rejab.Beginilah bestnya dapat kawan yang tak lokek untuk berkongsi ilmu.Bagi aku apa bulan sekali pon setiap apa yang kita lalukan niatnya mestilah betul.Tiada tipu daya bagi kepentingan diri sahaja.
Untuk renungan aku suka juga mengambil iktibar dari petikan ayat ini, Dari Abdullah bin omar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:
“ ( Di antara ) orang yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia, dan (di antara) amalan yang paling Allah sukai ialah kegembiraan yang dimasukkan dalam seorang muslim, atau menghilangkan baginya kesulitan, atau menyelesaikan hutang piutangnya, atau menghilangkan baginya kelaparan. Dan kalau aku berjalan dengan saudaraku kerana menyelesaikan hajatnya, maka itu lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan. Dan sesiapa yang mengawal marahnya, Allah akan menutup auratnya (keaibannya), dan sesiapa yang menahan sifat berangnya sedangkan dia berkuasa untuk bertindak, Allah akan penuhnya hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat, dan sesiapa berjalan dengan saudaranya untuk menyelesaikan hajatnya sehingga dihasilkannya, Allah akan tetapkan kakinya(di sirat) pada hari kiamat daripada kaki-kaki yang tergelincir (dimasukkan ke Nekara), dan sesungguhnya akhlak yang buruk itu merosakkan amalan kebaikan sebagaimana cuka merosakkan madu”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Tabrani dan Ibnu Abid Dunia.Hadis telah dihukumkan sebagai hadis hasan di dalam Kitab Sahih Al Jani”176)